Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan penghargaan terhadap semangat ditunjukkan rakyat yang membanjiri Putrajaya sejak awal bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 semalam.
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, Anwar turut memuji komitmen semua yang terbabit dalam menjayakan sambutan tahunan itu.
"Saya hargai semangat setiap rakyat yang membanjiri Putrajaya sedari lewat malam tadi untuk bersama-sama meraikan hari bersejarah negara ini.
"Penghargaan juga buat semua yang terlibat dalam sesi perbarisan, pertunjukan udara dan persembahan sepanjang sambutan berlangsung.
"Semangat perpaduan seperti ini yang kita dambakan untuk Malaysia terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang hebat.
"Hargailah kemerdekaan serta kedaulatan negara ini. Merdeka!" katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada Khamis menyaksikan kehadiran lebih 100,000 pengunjung dengan ada sesetengah pengunjung berada di kawasan dataran sejak malam lagi.
Lebih 17,000 peserta serta 67 kontinjen persembahan dan perarakan 505 aset darat serta udara daripada pelbagai agensi di Dataran Putrajaya, selepas kali terakhir dianjurkan pada 2019.
Acara bermula dengan ketibaan pembesar negara, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekitar 7.45 pagi.
Sambutan secara rasmi bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sekitar 8 pagi.
Anwar dalam hantaran sama menyifatkan sambutan yang bertujuan menzahirkan rasa kecintaan kepada negara serta mengenang detik kemerdekaan 31 Ogos 1957 sebagai ‘cukup luar biasa’.
Comentários