PM hargai karya satira Zunar, tempelak hipokrasi isu kehakiman
- Suara Keadilan
- Jul 22
- 2 min read
Updated: Jul 23

Oleh: Helmi Mohd Foad
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan karya seni sebagai wadah perjuangan yang ampuh dalam mengangkat suara rakyat sambil mengiktiraf keteguhan kartunis Zunar yang terus berkarya biarpun berdepan tekanan dan sekatan selama puluhan tahun.
Ketika merasmikan pelancaran buku biografi “Melukis Dengan Hati: Biografi Seni 50 Tahun” karya Zunar, Anwar berkata sumbangan seni satira bukan sekadar hiburan tetapi mencerminkan denyut nadi masyarakat, sesuatu yang telah lama dizahirkan oleh Zunar melalui lukisan-lukisan tajam dan berani.
"Beliau (Zunar) melawan arus pada waktu yang sangat getir. Dalam tempoh kita semua takut bersuara, dia melakar kritikan dengan keberanian," kata Anwar dalam ucapannya pada majlis yang berlangsung di Shah Alam hari ini.
Majlis itu turut mempamerkan satu potret istimewa wajah Zunar yang dilukis sendiri oleh Anwar ketika beliau berada dalam penjara pada tahun 2001 sebagai simbol hubungan akrab dan perjuangan bersama yang tidak pernah luntur walau terpisah oleh tembok besi.
Dalam ucapannya, Anwar turut menggunakan pentas itu untuk menyanggah pihak-pihak yang menuduh beliau mencampuri urusan kehakiman negara.
"Saya tidak akan campur tangan dalam urusan mahkamah. Tetapi apabila saya diam, mereka tuduh saya takut. Bila saya beri pandangan bahawa kerajaan ada tanggungjawab melantik ketua hakim berdasarkan lunas perlembagaan, mereka kata saya mahu pengaruhi keputusan," katanya sambil menyifatkan tindakan itu sebagai hipokrasi politik yang keterlaluan.
Anwar menegaskan beliau menghormati institusi kehakiman dan tidak pernah mengarahkan atau memberi tekanan terhadap mana-mana hakim dalam membuat keputusan.
"Mereka yang hari ini menjerit kononnya mahu kebebasan kehakiman adalah orang yang dahulu menggunakan sistem untuk menjatuhkan lawan politik. Itu hipokrasi," katanya tegas.
Sementara itu, Zunar dalam ucapannya menzahirkan rasa terharu kerana dapat menyambut ulang tahun ke-50 kerjayanya bersama pemimpin yang pernah menjadi inspirasi dalam banyak karya seninya.
Beliau turut menyeru agar generasi muda berani mengekspresikan pandangan melalui seni tanpa gentar kepada tekanan politik atau undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara.
Comments