Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa syukur kerana negara dapat mencapai suasana politik yang stabil setelah bergelut dengan ketidaktentuan yang seolah-olah tidak berpenghujung.
Dalam amanat khasnya sempena sambutan tahun baharu 2023, Anwar berkata semua pihak harus memanfaatkan peluang yang ada untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan.
"Maka pusat tumpuan Kerajaan Perpaduan adalah untuk mencari segala usaha pastikan ada keyakinan terhadap negara.
"Keyakinan kerana sistem politik, tadbir urus dan tata kelola yang baik, bersih dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
"Ini perlu kerana negara ini adalah negara perdagangan, selama ini mencatat kadar pertumbuhan ekonomi atas usaha menerima pelaburan domestik dan luar negara," tegas Anwar dalam amanat khasnya di Masjid Putrajaya.
Justeru tegasnya, usaha menarik pelaburan mesti dijalankan dengan segera.
Menjelang ketibaan pelabur-pelabur dari Eropah, Amerika syarikat, China, India dan beberapa negara sekitar Asian tahun hadapan, Anwar menegaskan mereka mesti diyakinkan bahawa Malaysia adalah destinasi tepat untuk pelaburan.
"Apakah langkah yang perlu diambil selain kestabilan dan tatakelola yang tersusun baik ialah dengan usaha mempercepat proses kelulusan.
"Dengan menjamin kepada mereka bahawa Malaysia bukan tempat pemimpin mengondol kekayaan atau mencari helah menerima komisyen.. tetapi adalah dengan berkhidmat kerana Allah," jelas Anwar.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelumnya hadir ke program Munajat Ambang Tahun Baharu di Masjid Putra bersama beberapa jemaah menteri yang lain.
Program yang bermula pada 6.30 petang itu diisi dengan aktiviti jamuan makan malam diikuti solat Maghrib dan Isyak, solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat.
Sementara itu tegas Anwar dengan adanya usaha dan niat ikhlas bekerja untuk rakyat, negara akan dapat menarik pelaburan luas yang manfaatnya akan kembali kepada rakyat.
"Pendekatan kita berbeza, kita kerap dengar tentang anjakan paradigma..Slogan itu bunyinya memukau, namun tidak diterjemah dalam bentuk amal. Ini adalah sangat kritikal.
"Kalau kita guna slogan anjakan umpamanya dalam melihat pembangunan apakah kita mahu membenarkan pembangunan dengan gedung raksaksa, projek mega dan mewah tetapi tidak pedulikan nasib rakyat yang melarat?' soal Anwar.
Justeru tegas Ahli Parlimen Tambun itu lagi, dalam usaha membangunkan negara tidak wajar sebilangan rakyat tersisih.
Comments