PM gesa institusi perbankan terus berdaya saing
- Suara Keadilan
- Feb 20, 2024
- 1 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa institusi perbankan di negara ini untuk terus kekal berdaya saing.
Perdana Menteri berkata, memandangkan industri kewangan memainkan peranan penting untuk menyokong ekonomi negara, bank-bank perlu mempunyai kudrat tinggi untuk kekal berdaya tahan dengan tiga C iaitu Complexity (kerumitan), Chaos (kehuru-haraan) and Contradictions (percanggahan).
"Permasalahan politik dan peperangan, Ukraine dan Rusia misalnya, serangan ganas rejim Zionis, cabaran iklim yang dahsyat serta penghijrahan rakyat jutaan orang yang menyebabkan isu tiga C ini.
"Justeru, tidak boleh ‘standard’ lama yang mana ia menuntut kepada pengurusan yang peka. Kalau betul mahu menjadikan industri ini hebat, dikagumi, menjana pertumbuhan dan tarik minat pelaburan, (justeru) kepantasan, kelajuan, peningkatan operasi dan keberhasilan… bank perlu ambil segera," katanya yang juga Menteri Kewangan.
Anwar berkata begitu pada ucapan pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Maybank dan melancarkan program Memperkasakan PKS, ‘myimpact SME Hub’ di Menara Maybank, Kuala Lumpur pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau turut menekankan agar industri perbankan mempunyai sifat manusiawi serta ihsan agar dengan melindungi rakyat daripada peredaran deras dibawa oleh tiga C.
"Bank-bank perlu menggalas tanggungjawab untuk bersama kerajaan menjayakan reformasi ekonomi yang diketengahkan dalam Ekonomi Madani.
"Kerangka ini berhasrat untuk membawa transformasi ekonomi dengan menjulang nilai ekonomi dalam rantaian bekalan dunia serta menambah baik kemampanan ekonomi negara," katanya dipetik.
Turut hadir adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dan Pengerusi Kumpulan Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa.
Comments