Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan secara maya dengan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk.
Menurut PM, pertemuan tersebut bertujuan membicangkan dengan lebih mendalam pelaburan syarikat Elon Musk di Malaysia, khususnya kereta elektrik.
"Hari ini saya telah mengadakan pertemuan melalui persidangan video bersama dengan CEO SpaceX, Elon Musk.
"Saya mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat itu di Malaysia dan juga kesediaan Elon Musk untuk datang ke Malaysia.
"Saya juga mengucap tahniah dan dokongan Kerajaan atas pembukaan Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor pada tahun ini," kata Anwar dalam kenyataan.
Dalam pertemuan itu, PM menerangkan cita cita Malaysia untuk memastikan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya pada tahun 2050.
Katanya, Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik.
"Kami turut berbincang berkenaan penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink yang dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman, yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.
"Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan," katanya lagi.
Pertemuan maya bersama CEO Tesla Inc. itu turut dihadiri oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Fadzil.
Comments