
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di Nusa Tenggara Timur, Indonesia selama tiga hari bermula hari ini.
Berdasarkan jadual, beliau akan mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA) sebaik tiba di Repubulik itu seterusnya menghadiri Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT).
"Kedua-dua sidang kemuncak ini akan mengukuhkan lagi kerjasama yang menyasarkan kepada peningkatan aktiviti rentas sempadan dalam usaha meningkatkan lagi nilai perdagangan dan pelaburan di wilayah-wilayah itu," kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan.
Selain itu, Perdana Menteri juga turut dijadualkan menghadiri empat sesi pertemuan penting dengan wakil-wakil Belia ASEAN, Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Mengenai Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025.
"Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 merupakan platform kepada semua negara anggota untuk membincangkan hala tuju ASEAN dan usaha-usaha pembangunan Komuniti ASEAN, yang merangkumi Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025 serta Pelan-Pelan Tindakan untuk ketiga-tiga tonggak Komuniti ASEAN, iaitu politikkeselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.
"Doakan semoga Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 kali ini akan berjalan lancar dan dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara negara-negara ASEAN dan seterusnya memperhebat gagasan ASEAN di peringkat global," tambah Zambry dalam kenyataan tersebut.