
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sambutan negara secara meriah ketika bertemu dengan Presiden Joko Widodo di Istana Presiden di Bogor hari ini.
Anwar tiba di Istana Presiden pada kira-kira jam 11 pagi dengan mengenakan sut gelap bertali leher merah dan bersongkok.
Beliau kemudian diberi sambutan permaindani merah dan dipersembahkan dengan tarian kebudayaan sebelum disambut Presiden Joko Widodo (Jokowi) di perkarangan kediaman rasmi pemimpin tertinggi negara Republik Indonesia itu.
Sebelum menuju ke Bilik Teratai istana untuk sesi bergambar dan menandatangani buku tetamu, Anwar diberi upacara mengalu-alukan lawatan tersebut.
Lagu kebangsaan Malaysia Negaraku dan Indonesia Raya, lagu kebangsaan Indonesia, dinyanyikan, diikuti dengan tabik hormat 19 laras, serta pemeriksaan tentera.

Ia disusuli pemeriksaan barisan kehormat dan memperkenalkan delegasi Indonesia oleh Jokowi dan delegasi Malaysia oleh Perdana Menteri.
Sebaik bergambar dan menandatangani buku tetamu, Anwar kemudian dibawa Jokowi ke beranda Istana Bogor.
Bahagian yang turut dikenali dengan jolokan Veranda Talk itu dikhaskan untuk pembicaraan intim kepada tetamu negara yang dianggap dekat dan penting dalam hubungan.

Jokowi dan Anwar kemudian menaman pokok Merawan di perkarangan istana sebagai simbolik pertemuan hari ini sebelum kedua mereka melawat Kebun Raya Bogor di kawasan istana dengan menaiki kereta yang dipandu Jokowi.
Taman botanikal ini berkeluasan kira-kira 87 hektar dan mempunyai lebih 15,000 jenis pokok.
Pada pertemuan hari ini, beberapa isu berkaitan hubungan kedua negara termasuk isu berkaitan ekonomi dibincangkan.
Anwar turut menyaksikan penyerahan Surat Kepentingan (LOI) firma Malaysia yang berminat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan Nusantara, ibu negara baharu Indonesia.
Diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, lawatan akan diakhiri dengan majlis makan tengahari.
Perdana Menteri pada lewat petang ini dijadual menyampaikan syarahan umum mengenai “Hubungan Strategik Malaysia-Indonesia” sebelum kemudian pulang ke Kuala Lumpur.