top of page

PM China lawat Malaysia sempena 50 tahun hubungan diplomatik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 19, 2024
  • 1 min read


Perdana Menteri China, Li Qiang tiba di Malaysia semalam dalam rangka lawatan kerja tiga hari sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia - China.


Beliau yang menyandang jawatan PM sejak Mac tahun lalu melakukan lawatan sulungnya ke Malaysia. Pesawat yang membawa Li dan delegasinya, lapor Bernama, mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.44 malam tadi.


Antara yang menyambut ketibaan beliau ialah Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.


Hari ini, Li dijadual mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan hal hubungan dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.


Mereka akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman dan persetujuan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China.


PM China juga dijadual menghadiri majlis pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak dan makan tengah hari bersama komuniti perniagaan dari kedua-dua negara.


China kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009 dengan nilai dagangan RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion) pada 2023.


Hubungan Malaysia dan China semakin kukuh susulan peningkatan hubungan dua hala melalui Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013.


*Kredit foto: Jabatan Penerangan Malaysia

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page