PM bertemu tiga firma Itali, teroka kerjasama pertahanan, tenaga
- Suara Keadilan
- Jul 2
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan libat urus dengan pengurusan tertinggi tiga firma terkemuka di Itali yang meneraju industri dan perniagaan utama meliputi sektor strategik seperti pertahanan dan tenaga.
Beliau berkata pertemuan bersama Fincantieri dan Leonardo, dua syarikat gergasi pertahanan yang menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 baru-baru ini bagi memperkukuh prospek kerjasama jangka panjang.
"Saya tekankan pentingnya pendekatan antara kerajaan (G2G) bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di rantau Asia Tenggara," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Anwar yang dalam rangka lawatan tiga hari di Itali berkata delegasi Malaysia turut mengadakan pertemuan bersama syarikat tenaga Itali, Eni untuk membincangkan kerjasama bersama Petronas di Malaysia.
Kata beliau syarikat tersebut turut mahu meneroka peluang pelaburan baharu yang boleh dimanfaatkan secara bersama.
"Saya manfaatkan sesi ini untuk menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang stabil, progresif dan diyakini.
"Saya juga menyeru agar segala komitmen yang telah dizahirkan disusuli dengan tindakan konkrit agar pelaburan yang dirancang dapat direalisasikan dalam tempoh ditetapkan," katanya.
Pertemuan dengan pemimpin industri Itali itu diadakan menjelang program Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali yang diadakan sempena lawatan tiga hari Anwar ke Itali.
Terdahulu Anwar dilaporkan bertemu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Itali Antonio Tajani.
Pada 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Itali mencatatkan peningkatan sebanyak dua peratus kepada RM14.61 bilion (AS$3.18 bilion) berbanding tempoh sama pada 2023.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara meningkat 3.3 peratus tahun ke tahun kepada RM6.5 bilion (AS$1.48 bilion).
Itali merupakan rakan perdagangan kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dan pengimport ketiga terbesar minyak sawit Malaysia daripada blok tersebut pada 2024.
Comments