PM bertemu Setiausaha Pertahanan AS di Singapura
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertemu Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) di Singapura.
Menurut Anwar, beliau yang dalam lawatan kerja ke negara itu telah menerima kunjungan Pete Hegseth dan membincangkan beberapa perkara terkait kepentingan antara kedua-dua negara.
"Antaranya usaha meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan dan maritim selain menyatakan penghargaan di atas penglibatan Amerika Syarikat pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) baru-baru ini," kata Anwar.
Selain itu, PM juga menerima kunjungan Presiden Boeing Global, Brendan Nelson dan beliau menggunakan ruang itu bagi membincangkan keselamatan maritim, modernisasi aset, pelaburan dalam pendidikan selain kolaborasi dengan pemain industri tempatan berkaitan latihan, kerjasama strategik dan pembangunan ekosistem Penyelenggaraan, Pembaikan serta Baik pulih (MRO) kelengkapan.
"Kedua-dua pertemuan ini mampu melonjakkan lagi kepentingan Malaysia dalam bidang pertahanan di peringkat serantau dan juga global," kata Anwar lagi.
Untuk rekod, pemindahan teknologi daripada syarikat Boeing kepada perusahaan Malaysia dalam senggaraan dan baik pulih adalah penting memandangkan Malaysia Aviation Group (MAG) baru baru ini telah membeli lebih 30 pesawat penumpang Boeing.
Pesanan itu termasuk 18 pesawat Boeing 737-8 dan 12 pesawat Boeing 737-10 yang dikuasakan oleh enjin CFM LEAP-1B dengan pilihan untuk 30 lagi pesawat 737.