Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertemu dengan pemain utama industri dan perniagaan Arab Saudi.
Pertemuan tersebut lebih kepada usaha menarik pelaburan besar besaran hartawan negara itu yang semakin berkurangan sejak 1998.
Menurut Anwar, beliau menawarkan kemudahan terbaik untuk para pelabur Arab Saudi mencipta kejayaan di Malaysia.
"Mengadakan sesi pertemuan bersama kepala industri perniagaan yang terlibat dalam sektor perdagangan serta pelbagai sektor strategik Arab Saudi.
"Sekali lagi saya menyeru mereka untuk melabur di negara kita serta menjalinkan kerjasama dengan syarikat di Malaysia dan kerajaan komited untuk memudahkan setiap urusan ini," katanya.
Anwar menggalakkan pelabur Arab Saudi untuk bergiat dalam bidang yang menjadi keutamaan Malaysia seperti teknologi digital dan sektor makanan.
"Saya juga galakkan mereka untuk melabur dalam bidang yang menjadi keutamaan Malaysia iaitu teknologi digital, sekuriti makanan dan infrastruktur.
"Semoga usaha ini dapat perkukuhkan lagi kerjasama Malaysia dan Arab Saudi," katanya.
Sebelum itu, Anwar menyaksikan upacara pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MOU) antara syarikat swasta Malaysia dan Arab Saudi.
Memetik laporan Bernama, ketiga-tiga MoU itu ditandatangani antara Dagang Nexchange Bhd dan Ajlan & Bros Holding Group Co; Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Makkah Knowledge Co; dan Qhub International Sdn Bhd dan Eromman Technologies Sdn Bhd.
Majlis yang itu disaksikan oleh Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jeddah Sheikh Mohammed Yousuf Naghi berlangsung di The Ritz-Carlton Jeddah selepas solat Tarawih malam tadi.
Turut hadir ialah Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.
Untuk rekod Malaysia pernah menerima pelaburan besar dari negara Arab pada pertengahan 1990an ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan.
Selepas pemecatan Anwar, minat pelabur Arab berkurangan terhadap negara ini selama 2 dekad.
Comments