PM bertemu Mufti Besar Rusia, sedia bantu perkasa industri halal
- Suara Keadilan
- 19 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Malaysia menyatakan kesediaan membantu memperkasakan industri halal di Rusia dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki negara ini sebagai peneraju pensijilan halal yang diiktiraf dunia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menyatakan perkara itu dalam pertemuannya dengan Mufti Besar Rusia, Sheikh Ravil Gaynutdin yang juga Pengerusi Lembaga Agama Islam Persekutuan Rusia bersama delegasinya di Moscow.
"Kami bertukar pandangan mengenai pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama termasuk usaha memperkukuh institusi Islam, memperluas pertukaran kepakaran, serta memperkasa industri halal di Rusia dengan memanfaatkan kelebihan Malaysia sebagai peneraju pensijilan halal yang diiktiraf dunia," katanya dalam hantaran di Facebook.
Anwar berkata beliau turut merakamkan penghargaan terhadap peranan aktif Sheikh Ravil dalam mempromosi keharmonian antara agama dan membina persefahaman dalam masyarakat majmuk Rusia.
"Ini adalah usaha yang amat berharga dalam dunia yang semakin dicalari perpecahan, kebencian dan prejudis," ujarnya.
Perdana Menteri berkata pertemuan tersebut membuka ruang mempererat ukhuwah antara dua komuniti Islam merentasi sempadan geografi dan perbezaan budaya.
Di samping itu katanya, lawatan tersebut menjalin hubungan Malaysia dengan lebih 25 juta umat Islam di Rusia yang hidup dalam kepelbagaian aliran dan tradisi.
Sebagai tanda persahabatan dan usaha dakwah, dalam pertemuan itu, Anwar turut menghadiahkan al-Quran bersama terjemahan dalam bahasa Rusia selari dengan aspirasi MADANI mewakafkan sejuta al-Quran ke seluruh dunia demi memperluas kefahaman tentang ajaran Islam dan menangkis Islamofobia.
"Sebagai balasan penuh makna, Sheikh Ravil turut menghadiahkan saya senaskhah al-Quran mushaf Uthmani dari Uzbekistan yang punyai sejarah panjang dan menjadi simbol kelangsungan ilmu serta warisan keindahan Islam yang merentasi benua dan generasi," katanya lagi.