PM bertemu Ketua Republik Tatarstan, teroka kerjasama sektor petroleum
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Pertemuan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Rais atau Ketua Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov sebaik tiba di Kazan, Rusia berpotensi memperkukuh hubungan serta kerjasama antara Malaysia dan wilayah tersebut, terutama dalam hal petroleum dan tenaga.
"Sektor tenaga menjadi fokus utama memandangkan Tatarstan merupakan antara wilayah pengeluar minyak utama di Persekutuan Rusia.
"Kami melihat ruang kerjasama yang luas dalam industri minyak dan gas, termasuk aktiviti hiliran, penapisan serta petrokimia," katanya dalam hantaran di media sosial.
Menurut Anwar, pertemuan itu juga membuka ruang untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelbagai peluang kerjasama yang boleh diteroka demi manfaat bersama.
"Kami menyentuh peranan KazanForum dalam memperkukuh hubungan perniagaan, selain membuka peluang baharu dalam bidang inovasi, ekonomi digital dan pelaburan strategik," katanya.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Kazan atas pengiktirafannya sebagai Bandar Kebudayaan Dunia Islam 2026 oleh ICESCO.
Beliau juga menghargai wawasan Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam mewujudkan Strategic Vision Group (SVG) sebagai jambatan antara Rusia dan dunia Islam.
"Saya menghargai visi Presiden Vladimir Putin dalam mewujudkan Strategic Vision Group (SVG), yang berperanan sebagai jambatan penting antara Rusia dan dunia Islam dalam memperkukuh dialog serta kerjasama yang lebih bermakna," katanya.
Selain itu, perbincangan bersama Rustam Minnikhanov turut merangkumi potensi kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, industri halal, teknologi dan pembangunan bakat.
PM berharap pertemuan tersebut akan terus mempererat hubungan Malaysia dan Tatarstan serta membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik.
"Semoga pertemuan ini membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat nyata kepada rakyat dan ekonomi kedua-dua pihak," katanya.
Untuk rekod, misi PM ke Rusia kali ini juga adalah untuk memastikan Malaysia mempunyai rakan pembekal petroleum bagi menjamin bekalan tidak terganggu di tengah tengah situasi konflik Iran-Amerika Syarikat yang belum nampak jalan penyelesaian dan gangguan bekalan berterusan import petroleum dari rantau Arab.




Comments