Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha keras menarik pelabur ke Malaysia di sela sela jadual padat menghadiri sidang Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat.
Hari ini PM bertemu empat syarikat gergasi iaitu Google, Boeing, Medtronic dan Siemens Healthineers dalam misi menawarkan peluang pelaburan terbaik di Malaysia.
"Kesemua syarikat ini menyatakan hasrat untuk mengembangkan operasi dan perniagaan mereka di Malaysia.
"Kerajaan Perpaduan juga akan memudahcara serta menggalak pelaburan dalam memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan pilihan (utama) di rantau Asia Tenggara," katanya.
Selain itu, PM mengadakan perjumpaan bersama ahli ekonomi terkenal yang juga pemenang Anugerah Peringatan Nobel dalam bidang ekonomi, Profesor Joseph Stiglitz daripada Universiti Columbia.
Kesempatan itu dimanfaatkan beliau untuk bertukar-tukar pandangan berkenaan keperluan ekonomi negara membangun, dan perlunya negara membangun diberi peluang yang lebih saksama, khusus di dalam persekitaran ekonomi dunia yang semakin mencabar.
"Kami turut berbincang mengenai langkah dan strategi yang boleh dilaksana untuk meningkatkan pendapatan dan membasmi kemiskinan, dan dalam masa yang sama memastikan kemapanan.
"Pendidikan yang lebih menyeluruh juga perlu diberi tumpuan, demi bina jati diri dan sahsiah generasi masa hadapan.
"Idea perbincangan ini akan dimanfaat dan dicambah untuk mempertingkatkan potensi ekonomi negara," kata Anwar lagi.
Perbincangan tersebut disertai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Diraja Zambry Kadir serta wakil agensi dari MIDA dan Matrade.
コメント