PM berlepas hadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia, bertemu Putin
- Helmi Mohd Foad

- Jun 16
- 2 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berlepas ke Kazan, Rusia bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berlangsung pada 17 hingga 18 Jun.
Anwar memberitahu beliau turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin selain menghadiri Forum Perniagaan Rusia-ASEAN.
"Berlepas ke Kazan, Persekutuan Rusia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia.
"Saya juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin selain menghadiri Forum Perniagaan Rusia-ASEAN," katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurut Anwar, selepas menyelesaikan agenda di Kazan, beliau akan meneruskan lawatan rasmi ke Ashgabat, Turkmenistan atas jemputan Presiden negara itu, Serdar Berdimuhamedow.
"Mohon doa teman-teman agar urusan saya dan delegasi Malaysia dipermudah lantas membawa manfaat dan pulangan terbaik kepada negara," katanya.
Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir selain pegawai dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri.
Menurut Kementerian Luar, sidang kemuncak berkenaan diadakan sempena ulang tahun ke-35 hubungan ASEAN-Rusia yang bermula di Kuala Lumpur pada 1991.
"Sidang Kemuncak itu akan menyediakan peluang kepada ASEAN dan Rusia untuk menilai kemajuan yang dicapai sepanjang 35 tahun lalu serta merangka hala tuju masa depan kerjasama ASEAN-Rusia di bawah Kerjasama Strategik," kata kenyataan itu.
Wisma Putra berkata perbincangan dijangka tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama praktikal dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga, keselamatan makanan, ekonomi digital, sains dan teknologi, kebudayaan, pendidikan, pelancongan serta pertukaran rakyat dengan rakyat.
"Para pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa."
Menurut Wisma Putra, sidang kemuncak tersebut dijangka menerima pakai empat dokumen utama iaitu Deklarasi Kazan sempena Ulang Tahun Ke-35 Hubungan ASEAN-Rusia, Kenyataan Bersama mengenai Kerjasama Tenaga, Kenyataan Bersama mengenai Kerjasama Kebudayaan serta Pelan Tindakan Komprehensif bagi Pelaksanaan Kerjasama Strategik ASEAN-Rusia 2026-2030.
"Dokumen-dokumen ini akan memandu kerjasama ASEAN-Rusia pada tahun-tahun mendatang dan menyokong usaha membina perkongsian yang lebih berdaya tahan serta berorientasikan masa depan," katanya.
Selain pertemuan dengan Putin, Anwar turut dijadual mengadakan kunjungan ke atas Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov serta bertemu pemimpin ASEAN lain bagi membincangkan hubungan dua hala dan isu-isu berkepentingan bersama.
"Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak itu mencerminkan komitmen negara untuk memperkukuh hubungan luar ASEAN, mempromosikan Kepusatan ASEAN dan memajukan kerjasama praktikal dengan rakan dialog dalam persekitaran global yang semakin kompleks," ujar Wisma Putra.




Comments