PM beri jaminan guna rangkaian diplomatik bebaskan sukarelawan GSF
- Suara Keadilan
- 19 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen penuh menggunakan rangkaian diplomatik dengan beberapa negara bagi membebaskan delegasi Malaysia yang ditahan tentera Israel dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Halim berkata perkara itu dinyatakan Perdana Menteri ketika menghubunginya pagi tadi setelah laporan mengesahkan rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Israel.
"Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Malaysia akan menggunakan semua saluran diplomatik bagi memastikan keselamatan serta pembebasan rakyat Malaysia yang kini ditahan.
"Beliau turut menyatakan kesediaan menghubungi rakan sejawatnya termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan kepimpinan Arab Saudi selain laluan diplomatik dengan negara besar lain termasuk United Kingdom serta Sepanyol," katanya pada sidang akhbar hari ini.
Sani Araby turut mengecam keras tindakan tentera Israel menahan flotila berkenaan walaupun ia sudah dijangka berlaku.
"Insiden ini jelas tidak berperikemanusiaan kerana mereka membawa bantuan kemanusiaan dan tidak melanggar sebarang undang-undang antarabangsa.
"Kami menegaskan misi ini bersifat kemanusiaan tanpa sebarang unsur provokasi.
"Kami yakin semua delegasi Malaysia dalam keadaan baik berdasarkan maklumat yang diterima secara langsung daripada mereka," katanya.
Dalam pada itu, Malaysia menuntut pembebasan segera tanpa syarat terhadap semua aktivis, petugas kemanusiaan dan anak kapal GSF termasuk 12 rakyat Malaysia, kata Wisma Putra.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata kapal serta bantuan kemanusiaan yang dibawa ke Gaza menerusi misi tersebut perlu disalurkan dengan selamat dan tanpa halangan.
"GSF merupakan inisiatif sah dan aman yang digerakkan untuk menyampaikan bantuan mendesak ke Gaza, ketika rakyat Palestin berdepan genosid, kebuluran, krisis kesihatan meruncing serta penderitaan berpanjangan.
"Tindakan Israel memintas flotila ini bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, malah merupakan pencabulan jelas terhadap undang-undang maritim antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa," kata kenyataan itu.