Penyalahgunaan kandungan: MCMC sekat sementara akses AI Grok
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 2 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan sekatan sementara ke atas akses kepada kecerdasan buatan (AI) Grok bagi pengguna di Malaysia, berkuat kuasa mulai 11 Januari 2026.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan tersebut diambil susulan penyalahgunaan Grok secara berulang kali untuk menjana kandungan tidak senonoh yang melampau serta imej manipulasi, termasuk yang melibatkan wanita dan kanak-kanak.
Menurut MCMC, langkah itu dibuat walaupun beberapa siri libat urus kawal selia telah dilaksanakan bersama X Corp. dan xAI LLC sebelum ini.
"Tindakan ini diambil susulan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah, kandungan seksual eksplisit, kandungan tidak senonoh yang jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan, termasuk kandungan yang melibatkan wanita dan kanak kanak, walaupun libat urus kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC," kata kenyataan itu.
MCMC turut mendedahkan bahawa notis rasmi telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 Januari dan 8 Januari 2026, menuntut pelaksanaan langkah perlindungan teknikal serta penyeliaan kandungan yang lebih berkesan.
"Walau bagaimanapun maklum balas yang dikemukakan oleh X Corp. pada 7 Januari dan 9 Januari hanya memberi tumpuan utama kepada mekanisme pelaporan yang dimulakan oleh pengguna, serta gagal menangani risiko sedia ada yang wujud hasil daripada reka bentuk dan pengoperasian alat AI tersebut.
"MCMC mendapati pendekatan tersebut tidak memadai untuk mencegah kemudaratan serta memastikan pematuhan undang-undang," katanya.
Sehubungan itu, sekatan sementara dikenakan sebagai langkah wajar sementara proses perundangan dan kawal selia masih berjalan.
"Sekatan akses kepada Grok akan kekal sehingga langkah perlindungan yang berkesan dilaksanakan, khususnya bagi mencegah kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak," menurut kenyataan itu lagi.
MCMC turut menegaskan bahawa pihaknya kekal terbuka untuk libat urus dengan X Corp. dan xAI LLC, tertakluk kepada pematuhan yang boleh dibuktikan terhadap undang-undang Malaysia.
Dalam pada itu, orang awam digesa agar melaporkan sebarang kandungan dalam talian yang memudaratkan kepada MCMC dengan segera, dan membuat laporan polis kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya perlu.









Comments