top of page

Inisiatif Kampung Angkat MADANI: Pembangunan menyeluruh peringkat akar umbi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 28 minutes ago
  • 2 min read
Datuk Farhan (berbaju merah tua) menyampaikan amanah projek Kampung Angkat MADANI
Datuk Farhan (berbaju merah tua) menyampaikan amanah projek Kampung Angkat MADANI

Inisiatif Kampung Angkat MADANI yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini diterjemahkan kepada pembangunan yang nyata dan menyeluruh di peringkat akar umbi, sekali gus meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.


Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Farhan Fauzi berkata, pelaksanaan projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Chengal Lempong telah siap sepenuhnya dan memberi manfaat langsung kepada penduduk kampung berkenaan.


"Alhamdulillah, bermula dengan cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif Kampung Angkat MADANI diterjemahkan menjadi pembangunan yang nyata dan menyeluruh di peringkat akar umbi," katanya dalam muat naik di media sosial.


Beliau berkata demikian ketika menyantuni penduduk serta menyampaikan amanah projek berkenaan di Balai Raya Kampung Chengal Lempong.

Pembinaan balai raya antara projek dilaksana
Pembinaan balai raya antara projek dilaksana

Menurut beliau, antara projek yang telah berjaya dilaksanakan termasuk kerja baik pulih dan naik taraf jalan kampung, pembinaan dan naik taraf jalan di pengkalan nelayan, pembinaan jalan pintasan kubur, pembinaan gelanggang futsal berbumbung, serta baik pulih Balai Raya Kampung Chengal Lempong.


Selain itu, projek lain melibatkan pembinaan bangunan serbaguna baharu, naik taraf dan pembinaan longkang di Jalan Wan Othman serta pembaikan 16 buah rumah daif bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penduduk.


"Sehingga kini, sebanyak 43 Kampung Angkat MADANI di seluruh negara telah memberi manfaat kepada lebih 83,000 penduduk sekali gus membantu meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan keluarga setempat," katanya.


Beliau berharap usaha pembangunan yang dilaksanakan melalui Kampung Angkat MADANI ini dapat terus memberi manfaat yang menyeluruh kepada masyarakat setempat selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.


"Semoga usaha pembangunan ini membawa kebaikan berpanjangan kepada rakyat. Insya-Allah," katanya.


Turut hadir dalam program berkenaan ialah Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, Datuk Razihan Adzharuddin; Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Sharuddin Jali serta Ketua Polis Balai Beserah, Inspektor Muzafar Musa.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page