Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada bidang sukan khususnya bagi membantu melonjakkan pembangunan sukan negara.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan itu pada ucapan pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, malam tadi.
"Di sebalik kelembapan ekonomi dan kekangan kewangan, kerajaan tidak akan sesekali meminggirkan bidang sukan yang disifatkan elemen penting yang menyatukan seluruh rakyat negara.
"Beberapa usul yang dikemukakan kementerian (Kementerian Belia dan Sukan) dalam Jemaah Menteri, kita tetap berikan perhatian. Seandainya ada ruang kita pasti akan beri pertimbangan khas di sebalik keadaan ekonomi dan kekangan kewangan.
"Kita akan cuba sedaya upaya kerana budaya sukan ada kekuataannya kerana ia adalah satu kegiatan aktiviti yang tidak memisahkan kelompok desa, bandar dan pedalaman, kaum atau agama menerusi satu minat yang di dukung bersama," katanya dipetik.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli Abd Halim dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Sementara itu pada ucapannya Anwar turut menyatakan komitmen kerajaan untuk terus memberi kelonggaran daripada segi percukaian kepada penderma yang menaja persatuan sukan di negara ini.
"Saya mengulangi kenyataan pada rakan di kementerian termasuk persatuan bahawa kelonggaran daripada segi percukaian kepada penderma yang berikan bantuan dan sokongan untuk majukan sukan di negara ini," katanya.
Comments