Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran terakhir kepada puak pelampau yang sengaja memainkan serta menyentuh isu 3R iaitu agama, raja dan kaum.
Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia di Menara Dato Onn WTC, Kuala Lumpur, malam tadi, Anwar menegaskan tidak akan ada pihak akan terkecuali daripada diambil tindakan undang-undang.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus memantau puak pelampau terbabit.
"SKMM dan PDRM tanpa pengecualian akan pantau semua, kalau pelampau itu orang Melayu atau berpangkat tinggi sekali pun atau dalam bahasa Mandarin atau Tamil itu bukan persoalannya," kata beliau.
Mengulas lanjut, Anwar berpendirian tindakan berterusan menyentuh isu 3R satu tindakan terdesak yang mahu mempertahan kuasa namun akhirnya akan mengorbankan kepentingan rakyat.
Hal itu jelasnya akan menimbulkan huru-hara dan perpecahan dalam kalangan rakyat.
"Jika peraturan dan undang-undang dilanggar dan Perlembagaan dicabar, ia kemudiannya hanya akan menyemai bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat.
"Konsensusnya bukan saja dalam kerajaan, dalam parti, malah dalam perbincangan dengan Raja-raja Melayu menggesa supaya negara ini diselamatkan dari kelompok-kelompok yang sangat terdesak untuk mempertahankan kuasa," katanya.
Comments