Perdana Menteri bakal mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah di seluruh negara pada minggu hadapan bagi berbincang dan mencari cara selesaikan masalah kemiskinan tegar, terutama di luar bandar.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan di Dewan Rakyat pada Rabu
"Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu nanti adalah menoktahkan kemiskinan tegar
"Ia akan dibincangkan dan bagaimana peringkat daerah boleh melaksanakannya," kata beliau menjawab permintaan Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pas - Pasir Puteh) yang meminta kerajaan menjelaskan mengenai program baharu yang diperkenalkan kerajaan dalam usaha menoktahkan masalah kemiskinan tegar.
Mengulas lanjut mengenai usaha itu, Ahmad berkata kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini telah meluluskan RM750 juta melalui Belanjawan 2023 untuk menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini dengan peruntukan disalurkan kepada Kementerian Ekonomi.
Peruntukan itu bagi melaksanakan tiga program baharu termasuk pemberian pekerjaan kepada golongan tertentu.
Kerajaan jelasnya turut memberikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM2,500 bagi bantuan golongan miskin dengan pendapatan RM2,500 dan ke bawah serta mempunyai lima orang anak.
Tambahan RM1,500 turut disalurkan kepada individu dalam kumpulan eKasih (seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri).
Selain itu, dalam usaha membasmi kemiskinan tegar, kerajaan turut menyediakan latihan termasuk latihan perniagaan bagi membolehkan mereka berdikari agar mereka tidak terlalu bergantung kepada bantuan kewangan.
"Kalau mereka berpaut dengan bantuan-bantuan yang ada, sampai bila mereka boleh keluar dari kemiskinan tegar. Mereka perlu dilatih dan menjadi usahawan kecil," jelasnya sambil menambah kerajaan menyediakan RM900 juta untuk melatih penjaja dan peniaga kecil melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan RM330 juta oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).
Comments