PM bakal bentang belanjawan mini untuk perbelanjaan kerajaan
- Suara Keadilan
- Dec 19, 2022
- 1 min read
Updated: Dec 19, 2022

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Menteri Kewangan dijangka mengusulkan Rang Undang-undang (RUU) "belanjawan mini" yang dianggarkan bernilai RM55.96 bilion untuk perbelanjaan kerajaan (emolumen).
Usul berkenaan berada dalam turutan perkara kesembilan pada kertas aturan Dewan Rakyat untuk prosiding hari ini yang berkemungkinan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa.
"Berdasarkan kertas aturan itu, belanjawan mini akan dibiayai daripada kumpulan wang pembangunan negara mengikut Seksyen 4 Akta Kumpulan Wang Pembangunan.
"Kertas aturan mesyuarat Dewan Rakyat tidak menyatakan subseksyen mana yang akan digunakan, tetapi ia berkemungkinan Seksyen 4(2)(a) yang membenarkan belanjawan tambahan untuk perbelanjaan tidak dirancang dibentangkan," kata laporan itu dipetik Malaysiakini.
Terdahulu pada 24 November lalu, Anwar menjelaskan beliau akan membentangkan usul bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya gaji penjawat awam.
Kelulusan emolumen itu jelasnya penting bagi memastikan tiada kebimbangan dalam kalangan penjawat awam berhubung gaji, berikutan Bajet 2023 masih belum diluluskan.
"Untuk bajet, kita perlu luluskan emolumen terlebih dahulu pada 19 Disember, supaya penjawat awam kita tidak bimbang," kata Anwar dalam sidang media pertamanya selepas dilantik mengetuai kerajaan.
Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan di bawah pimpinan kerajaan lalu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, membentangkan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu di Dewan Rakyat.
Bajet itu tidak sempat untuk dibahas dan diluluskan susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.
Anwar dalam sidang media sebelum ini turut mengandaikan pembentangan Bajet 2023 secara menyeluruh akan dibuat pada Januari, selepas semakan bajet dilakukan.
Hari ini Parlimen akan bersidang buat pertama kali selepas pilihan raya umum ke-15, bermula dengan pemilihan speaker Dewan Rakyat baru dan majlis angkat sumpah Ahli Parlimen.
Seterusnya akan disusuli usul Undi Percaya terhadap PM Anwar yang akan dibentangkan oleh salah seorang daripada dua Timbalan Perdana Menteri.
Comments