top of page

Tidak perlu panik beli barang, bekalan cukup - KPDN WPKL

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Apr 14
  • 2 min read

Orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik susulan perkembangan konflik di Asia Barat kerana bekalan barangan asas mencukupi, demikian kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).


Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Shahran Mohd Arshad berkata kementerian juga sentiasa memantau serta menyelia harga barang sepanjang tempoh konflik ini.


"KPDN WPKL memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan asas harian adalah mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal.


"Pemantauan bekalan dilaksanakan secara menyeluruh di sebelas kawasan Parlimen di Kuala Lumpur bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Shahran berkata KPDN WPKL turut melantik dan memantau beberapa Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan Pemborong Terpilih Daerah (DDW) bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa tersedia dan mencukupi di pasaran.


"KPDN WPKL juga melaksanakan sesi libat urus dengan syarikat pengeluar minyak bagi memastikan bekalan petrol dan diesel adalah mencukupi di semua stesen minyak termasuk di laluan utama seperti lebuh raya dan pusat bandar," ujarnya.


Dalam masa sama, jelas beliau pemantauan terhadap barangan kawalan melalui Ops Tiris 4.0 bersepadu akan terus diperkukuhkan bagi mengelakkan sebarang aktiviti penyelewengan.


Katanya seramai 168 pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga KPDNWPKL digerakkan untuk memantau keberadaan bekalan dan harga di seluruh ibu kota secara berterusan.


"Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menyebarkan berita yang tidak sahih yang boleh mencetuskan kebimbangan awam," ujarnya.


Jelas beliau orang ramai yang mengesan sebarang masalah berkaitan bekalan barangan keperluan di kawasan masing-masing diminta untuk melaporkan terus kepada pihak KPDN WPKL untuk tindakan segera.


"KPDN WPKL komited untuk memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa mencukupi dan stabil demi kesejahteraan rakyat," katanya.


Sebarang aduan boleh dikemukakan kepada pihak Kementerian melalui portal https://eaduan.kpdn.gov.my atau hubungi pusat panggilan 1 800 886 800 selain emel ke e-aduan@kpdn.gov.my dan Whatsapp 019-848 8000


Aduan juga boleh dibuat melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN dan hubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan 03-8882 6088/6245

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page