PM arah siasatan penuh, terbuka, telus di atas kematian Zara Qairina
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan siasatan penuh dan telus berhubung kematian seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah berasrama penuh di Sabah pada 17 Julai lalu.
Menurut PM, tiada tolak ansur ke atas sesiapa pun yang terlibat dalam kes kematian itu.
"Saya telah arahkan agar siasatan penuh, terbuka dan telus dijalankan berhubung kematian anak kita, Zara Qairina di Sabah.
"Tidak kira siapa pun yang terlibat, orang kenamaan atau orang biasa, tiada tolak ansur! Setiap kematian mesti disiasat tanpa cubaan melindungi mana-mana pihak demi keadilan," katanya dalam kenyataan.
Dalam masa sama, PM menolak cubaan sesetengah pihak menunggang isu berkenaan dan menjadikannya sebagai isu politik atau menaikkan sentimen rakyat negeri ke atas Kerajaan Persekutuan.
"Namun kita tidak boleh jadikan tragedi ini sebagai modal politik. Jangan bina istana di atas pusara.
"Menggunakan kesedihan keluarga untuk menyerang atau membina keuntungan politik adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan. Nyawa yang terkorban bukan bahan permainan untuk diperalatkan," ujarnya.
Oleh itu, beliau bersetuju dengan arahan terbaharu Peguam Negara agar digali semula kubur jenazah Zara bagi mencari bukti tambahan untuk melengkapkan siasatan.
"Atas syak wasangka dan mengikut lunas undang-undang, Peguam Negara telah mengarahkan supaya mayat digali semula untuk bedah siasat. Langkah ini penting untuk memulihkan keyakinan rakyat bahawa kebenaran tidak disembunyikan.
"Saya tegaskan sekali lagi, ini Kerajaan MADANI. Tiada sesiapa, termasuk VIP, akan dilindungi jika bersalah.
"Pembunuh tetap pembunuh dan undang-undang mesti ditegakkan demi memastikan setiap nyawa dihargai serta keadilan ditegakkan," tegas Anwar.
Untuk rekod, Semalam, Jabatan Peguam Negara mengesahkan keperluan untuk menggali semula kubur Zara Qairina Mahathir bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berusia 13 tahun itu.
Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas penelitian dilakukan terhadap laporan penuh siasatan awal dikemukakan oleh pihak polis berhubung kes kematian remaja itu.
Jabatan Peguam Negara berkata, langkah tersebut dilakukan bertujuan untuk memastikan pihak polis memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina.