top of page

PM arah Peguam Negara percepat pengesahan status mangsa banjir Nepal

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
1 min read

Kerajaan Nepal dilapor telah menyatakan persetujuan untuk mempercepatkan proses pengesahan status 55 rakyat Malaysia yang masih gagal dikesan susulan bencana di negara itu baru-baru ini.


Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar) berkata persetujuan itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hasil perbualan bersama rakan sejawatnya, Balendra Shah.


"Perdana Menteri Nepal telah memaklumkan persetujuan untuk membantu mempercepat proses pengesahan status bagi 55 orang rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dikesan.


"Jadi Perdana Menteri mengarahkan Peguam Negara mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa Nepal pada kadar segera bagi mempercepat proses pengesahan berkenaan," katanya dipetik.


Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.


Mengulas lanjut Fahmi berkata, proses perbincangan bersama pihak berkuasa Nepal membabitkan aspek perundangan dan mahkamah.


"Ia ada membabitkan aspek-aspek perundangan dan mahkamah, maka Peguam Negara ditugaskan untuk mempercepat proses berkenaan," tambahnya.


Banjir dan aliran puing pada 26 Ogos lepas yang dicetuskan oleh runtuhan ais dan batu di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet dilaporkan mengorbankan lebih 1,450 orang, manakala ribuan lagi masih belum dapat dikesan.


Kumpulan keluarga rakyat Malaysia yang masih hilang baru-baru ini memohon Perdana Menteri membantu mempermudah urusan perundangan status semua mangsa.


Mereka turut memohon kerajaan mempertimbangkan moratorium khusus membantu keluarga bertahan terhadap komitmen kewangan mangsa sehingga sijil kematian dikeluarkan serta tuntutan insurans dan urusan harta dapat diselesaikan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page