PM arah Ketua Setiausaha Negara teliti cadangan Bekerja Dari Rumah
- Akmal Manaf

- Mar 13
- 1 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz agar meneliti cadangan bekerja dari rumah (BDR).
Perkara itu dimaklumkan oleh Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil dalam sidang media pasca Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.
Fahmi berkata, arahan penelitian oleh Anwar itu adalah untuk memastikan beberapa perkara terselaras.
"Ini untuk sektor awam. Hasil daripada perbincangan itu akan dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Selasa depan," katanya.
Terdahulu, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan pelaksanaan dasar BDR secara bersasar bagi sektor tertentu.
Ketuanya, Mohd Kamil Abdul Munim menegaskan langkah proaktif itu dapat membantu rakyat menjimatkan kos petrol sekaligus mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar.
Dasar tersebut juga jelasnya membantu kerajaan mengurus perbelanjaan subsidi bahan api dengan lebih berhemah berikutan peningkatan harga minyak dunia akibat ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.




Comments