PM arah Kementerian Pertanian pastikan tambahan hasil padi tahun depan
- Suara Keadilan

- Dec 17, 2024
- 1 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memastikan tambahan hasil padi yang signifikan pada tahun depan.
Perdana Menteri berkata langkah itu bagi memastikan keterjaminan bekalan padi dan beras sebagai makanan ruji negara.
Beliau menyatakan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara Bil. 2/2024 di Putrajaya hari ini.
"Dalam soal ini, saya mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memastikan tambahan hasil padi yang signifikan pada tahun 2025.
"Sasaran ini penting bagi untuk meningkatkan hasil pesawah, di samping memastikan keterjaminan bekalan padi beras sebagai makanan ruji negara," katanya menerusi hantaran di media sosial beliau.
Hadir sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Anwar berkata mesyuarat tersebut antara lain memberi tumpuan kepada isu produktiviti hasil padi negara.
"Dengan strategi yang proaktif dan kerjasama semua pihak, agenda keterjaminan makanan akan terus didukung oleh Kerajaan MADANI bagi kemaslahatan dan kebajikan rakyat Malaysia," katanya.









Comments