top of page

PM arah ambil tindakan jaga keamanan, bukan sekat suara rakyat - Syahredzan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 17
  • 1 min read
ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kenyataan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali yang mendakwa arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada agensi penguat kuasa sebagai cubaan “menyekat kebangkitan rakyat” dikritik.


Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan (gambar) menerusi satu hantaran di laman Facebooknya menyifatkan, tohmahan dilemparkan Muhammad Rafiq itu sebagai suatu yang pelik.


"Perdana Menteri hanya mengarahkan tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan rusuhan dan huru-hara, bukannya mempertahankan kedudukan peribadinya.


"Parti Pejuang sepatutnya menyokong kenyataan Perdana Menteri demi keamanan dan ketenteraman awam. Namun, parti berkenaan lebih gemar menjadikannya sebagai modal politik sempit," katanya.


Dalam pada itu, Syahredzan menerusi hantaran sama turut menyindir sinis kenyataan Muhammad Rafiq itu dengan menegaskan bahawa Anwar masih kekal disokong majoriti Ahli Parlimen dan sebahagian besar rakyat.


"Jadi apa kena-mengena dengan kononnya takut kebangkitan rakyat? Lihat pada Himpunan Turun Anwar, katanya nak tumbangkan kerajaan. Yang hadir kurang 20,000 orang itu pun ramai datang dari luar Lembah Klang.


"Sama juga dengan cubaan Waytha Moorthy mempertikai keabsahan Anwar, langsung tidak mendapat sambutan rakyat," tambahnya.


Syahredzan menambah, serangan Pejuang dan sekutunya Perikatan Nasional (PN) hanyalah usaha menutup kegagalan mereka sendiri.


Menerusi hantaran sama beliau turut membidas sikap “anti-Anwar” parti Pejuang dan sekutunya Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya cuba menutup kegagalan sendiri.


Malah, beliau mencabar pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat sekiranya benar Anwar semakin hilang sokongan.


"Malangnya, Pejuang tidak mampu membawa usul undi tidak percaya kerana tidak mempunyai seorang pun wakil di Dewan Rakyat. Mintalah PN masukkan usul undi tidak percaya seperti yang diwar-warkan sebelum ini.


"Kalau tidak, ia (tuduhan) hanyalah omong kosong seperti biasa," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page