top of page

PM Anwar ucap takziah pemergian SU Agung IKRAM, pejuang reformasi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 28
  • 2 min read

ree

Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Setiausaha Agung Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Shahrul Aman Mohd Saari yang meninggal dunia di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya awal pagi tadi


Perdana Menteri mendoakan agar bekas pemangku Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) diberi keampunan dan keluarganya diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan kehilangan beliau.


"Mengutus takziah kepada keluarga allahyarham saudara Shahrul Aman yang telah menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi di Institut Kanser Negara (IKN).


"Mendoakan ruhnya diberi keampunan dan keluarganya diberi kekuatan setingginya saat ini," kata beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.


Menurut hantaran di media sosial IKRAM, jenazah Allahyarham Shahrul Aman disolatkan di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang selepas solat Zohor, sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam bersebelahan universiti itu.


Shahrul Aman yang merupakan seorang reformis memangku jawatan pengerusi BERSIH dari Mac hingga Oktober 2018, selepas Maria Chin Abdullah melepaskan tugas tersebut untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14.


Beliau turut pernah menjadi setiausaha kepada bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.


Dalam pada itu Setiausaha Agung KEADILAN, Fuziah Salleh menganggap pemergian beliau benar-benar satu kehilangan besar setelah Allahyarham sejak sekian lama berjuang dalam  IKRAM selain menunjukkan contoh akhlak, kesungguhan dan keikhlasan dalam bekerja untuk ummah.


"Baru sahaja lagi beliau menghubungi saya, penuh semangat menjemput kami ke majlis Raya IKRAM. Tak sangka, itulah perbualan terakhir kami. Allah lebih sayangkan beliau.


"Semoga segala bakti dan sumbangan beliau akan terus mengalir sebagai pahala, Insya-Allah," ujarnya yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.


Dalam pada itu Naib Pengerusi DAP Syahrezan Johan berkata Allahyarham Shahrul Aman telah membuktikan kesungguhannya dalam memperjuangkan hak sivil dan politik dalam negara termasuklah pilihan raya umum yang bersih dan adil.


"Lama sudah saya kenal Allahyarham Shahrul Aman. Daripada zaman aktivis, sehinggalah saya masuk politik. Dalam banyak hal, kami sehaluan untuk memperbaiki negara walaupun wadah berbeza.


"Allahyarham seorang yang ‘soft spoken’, baik budi pekerti dan berpegang pada komitmen tinggi untuk membawa rahmat Islam dalam komuniti yang berbilang kaum," katanya yang juga Ahli Parlimen Bangi.


"Allahyarham sentiasa mengadakan libat urus dan perbincangan dengan pertubuhan dan individu bukan Muslim untuk mencapai matlamat sama yakni kebaikan sejagat demi negara," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page