PM Anwar ucap tahniah UM tembusi kelompok 200 universiti terbaik dunia


Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Universiti Malaya (UM) atas kejayaan bersejarah muncul sebagai universiti pertama Malaysia menembusi kelompok 200 terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2027.
UM menduduki tempat ke-194 dalam penarafan berkenaan sekali gus mencatat pencapaian tertinggi oleh mana-mana universiti Malaysia dalam THE World University Rankings.
Penarafan 2027 melibatkan penilaian ke atas 2,297 universiti di seluruh dunia.
Perdana Menteri berkata pencapaian itu mencerminkan kecemerlangan UM dalam bidang pengajaran dan penyelidikan, selain menyuntik keyakinan bahawa institusi pendidikan tinggi negara mampu bersaing dengan universiti terkemuka dunia.
"Tahniah Universiti Malaya (UM) atas kejayaan bersejarah sebagai universiti pertama Malaysia yang menembusi kelompok 200 terbaik dunia dalam Times Higher Education World University Rankings 2027, dengan menduduki tempat ke-194," katanya menerusi kenyataan di media sosial hari ini.
Pencapaian itu menyaksikan kedudukan UM melonjak daripada kelompok 351 hingga 400 dalam THE World University Rankings 2023 kepada tempat ke-194 dalam edisi 2027.
Perdana Menteri berkata kecemerlangan itu perlu terus diperkukuh menerusi budaya ilmu yang subur, kebebasan berfikir serta penyelidikan yang menjawab keperluan masyarakat dan negara.
Beliau yang juga lulusan UM berkata universiti juga perlu terus melahirkan generasi yang tajam akal, teguh nilai dan akhlak serta berani meneroka gagasan baharu.
"Kejayaan ini harus menjadi pemangkin kepada Universiti Malaya dan seluruh institusi pendidikan tinggi kita untuk terus meningkatkan mutu dan mengangkat martabat ilmu," katanya.
Anwar turut menzahirkan harapan agar UM terus melakar kejayaan yang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
"Semoga Universiti Malaya terus melakar kejayaan yang mengharumkan nama Malaysia," katanya.




Comments