PM Anwar tuntut AS-Iran henti ketegangan
- Azuan Ab Rahman

- 5 hours ago
- 1 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Amerika Syarikat (AS) dan Iran segera menghentikan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan di Asia Barat.
Beliau menegaskan, peningkatan semula ketegangan antara kedua-dua negara itu membimbangkan, terutama apabila serangan terbaharu turut melangkaui pihak yang terlibat secara langsung sehingga menjejaskan negara lain di rantau berkenaan sekaligus berisiko mengheret Asia Barat ke dalam konflik lebih parah.
"Pihak yang mempunyai keupayaan terbesar untuk membentuk perkembangan keadaan berkenaan memikul tanggungjawab khusus untuk menahan diri dan mencegah peningkatan konflik.
"Kedaulatan negara lain tidak boleh diketepikan, manakala tiada objektif ketenteraan yang boleh menghalalkan tindakan mendedahkan orang awam kepada konflik yang semakin meluas," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Menerusi kenyataan tersebut beliau menggesa kedua-dua pihak segera kembali kepada pendekatan diplomasi dan persefahaman yang dicapai pada Jun lalu.
"Langkah-langkah ekonomi yang menambahkan kesusahan kepada orang awam serta menghalang usaha diplomasi berisiko memburukkan lagi krisis, bukan menyelesaikannya.
"Kedaulatan negara lain tidak boleh diketepikan. Dunia tidak seharusnya dipaksa menanggung akibat daripada peperangan serantau yang lebih luas," tegasnya.




Comments