top of page

PM Anwar tiba di Kenya, misi diplomasi MADANI terakhir di Afrika

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 24 minutes ago
  • 2 min read

Misi Diplomasi MADANI PM Anwar bertemu rakan sejawat di Kenya merapatkan kerjasama ekonomi
Misi Diplomasi MADANI PM Anwar bertemu rakan sejawat di Kenya merapatkan kerjasama ekonomi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selamat tiba di Nairobi, Republik Kenya, bagi memulakan siri terakhir Misi Diplomasi MADANI di benua Afrika atas undangan rasmi Presiden Dr William Samoei Ruto.


Menurut Anwar, lawatan tersebut merupakan langkah penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala yang sudah lama terjalin, selain membuka ruang kerjasama strategik antara Malaysia dan Kenya.


"Alhamdulillah, selamat tiba di destinasi terakhir misi Diplomasi MADANI yakni Nairobi, Republik Kenya bagi memenuhi undangan rasmi Presiden Dr. William Samoei Ruto," katanya dalam muat naik di media sosial.


Perdana Menteri menegaskan bahawa kunjungan itu bukan sahaja memperkukuh ikatan persahabatan, malah menjadi platform untuk meneroka peluang pelaburan, kerjasama ekonomi, serta inisiatif pembangunan yang mampu membawa manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara.


"Kunjungan ini membuka ruang penting untuk memperkukuh persahabatan yang telah terjalin, di samping meneroka peluang pelaburan serta kerjasama strategik yang mampu membawa limpahan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara," jelas beliau.


Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa rangkaian pertemuan dan rundingan di Nairobi akan menjadi pencetus hubungan lebih erat dan bermakna.


"Saya menaruh harapan tinggi agar rangkaian pertemuan di Nairobi ini menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat, bermakna, dan berpaksikan kesejahteraan rakyat," katanya.


Dalam lawatan ini, PM dijadual akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Ruto.


Selepas mesyuarat berakhir, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman dan dokumen kerjasama, termasuk dalam pelancongan, serta antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Bandaraya Nairobi.


PM juga dijadualkan menyampaikan ucaptama dan merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Afrika dan Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-Kenya di Nairobi.


Pada 2024, Kenya merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika, dengan jumlah perdagangan mencecah RM5.7 bilion, peningkatan sebanyak 1.2 peratus daripada RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya.


Dalam kunjungan ke Kenya, PM diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page