top of page

PM Anwar tiba di Australia bagi lawatan rasmi



Oleh: Azuan Ab Rahman


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam rangka lawatan rasmi sulungnya ke Australia atas jemputan rakan sejawat, Anthony Albanese.


Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dengan ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne Jet Base kira-kira jam 10.40 malam semalam waktu tempatan atau 7.40 malam waktu Malaysia.


Pada lawatan ini, Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tahunan Antara Pemimpin Malaysia-Australia Kedua (ALM) dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia dari 5 hingga 6 Mac ini sebelum ke Canberra pada hari terakhir lawatannya pada 7 Mac.


Selain itu, Anwar dijadual merasmikan Kompleks Sukan Al-Taqwa di Melbourne dan menghadiri mesyuarat meja bulat dengan pemimpin industri, mengadakan perjumpaan perniagaan 'seorang ke seorang' dengan pelabur berpotensi, menyampaikan ucaptama pada Invest ASEAN Melbourne 2024, dan menjadi hos majlis makan malam untuk diaspora Malaysia.


Di Canberra pula, Anwar dijadual melakukan kunjungan hormat kepada Gabenor Jeneral Australia, David Hurley, dan menyampaikan syarahan umum di Australian National University.


Wisma Putra melalui satu kenyataan berhubung lawatan itu berkata, Malaysia dan Australia akan mempertimbangkan langkah-langkah untuk meningkatkan spektrum kerjasama yang luas, dengan disokong oleh rangka kerja Perkongsian Strategik Komprehensif, termasuk dalam perdagangan dan pelaburan, pendidikan, ekonomi digital serta keselamatan siber.


Sidang kemuncak khas sempena memperingati ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia itu dijangka menerima pakai Pernyataan Visi Pemimpin ASEAN-Australia dan Deklarasi Melbourne sebagai dokumen panduan untuk memajukan lagi hala tuju strategik perkongsian ASEAN-Australia.


"Penyertaan Malaysia dalam ALM dan sidang kemuncak khas itu mencerminkan komitmen yang kuat untuk mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada dengan Australia bawah rangka kerja Perkongsian Strategik Komprehensif, menerusi platform dua hala atau multilateral," menurut Wisma Putra.


Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Sharrina Abdullah menyifatkan lawatan itu mencatatkan satu perkembangan penting dalam kerjasama antara kedua-dua negara melalui platform dua hala dan pelbagai hala.


Lawatan itu menonjolkan keazaman kedua-dua negara dalam meningkatkan kerjasama dalam bidang utama, yang mempunyai kepentingan strategik dan komitmen bersama untuk memperdalamkan lagi hubungan diplomatik, ekonomi dan budaya antara Malaysia dan Australia.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page