PM Anwar tiba di Afrika Selatan hadiri Sidang Kemuncak G20
- Suara Keadilan

- 5 minutes ago
- 2 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Johannesburg, Republik Afrika Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20 atas jemputan khas Presiden Matamela Cyril Ramaphosa.
PM menyifatkan undangan itu sebagai tanda komitmen Afrika Selatan untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia berasaskan persahabatan yang erat dan aspirasi bersama dalam kerangka Negara-Negara Selatan (Global South).
Juga lawatan ini bagi membalas kunjungan Presiden Ramaphosa ke Kuala Lumpur pada Oktober lalu menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.
"Undangan ini menggambarkan komitmen Afrika Selatan untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia, berteraskan persahabatan, rasa saling menghormati dan aspirasi bersama sebagai Negara-Negara Selatan," katanya dalam muat naik di Facebook.
Bagi Anwar, penyertaannya dalam Sidang Kemuncak G20 kali ini akan membuka ruang penting untuk Malaysia mengetengahkan agenda serantau dan global.
"InsyaAllah, penyertaan dalam Sidang Kemuncak G20 kali ini membuka ruang penting untuk saya berkongsi aspirasi serta pencapaian selaku Pengerusi ASEAN 2025, selain mengemukakan suara Malaysia dalam isu mendesak yang memberi kesan kepada rantau dan dunia," ujarnya.
Anwar menegaskan bahawa kehadiran Malaysia bukan sekadar memenuhi undangan antarabangsa, tetapi mencerminkan tekad negara memperkukuh solidariti Global South serta meneroka kerjasama baharu dalam bidang strategik.
"Saya menaruh keyakinan bahawa kehadiran Malaysia di Johannesburg bukan sekadar menghadiri persidangan, sebaliknya cerminan tekad kita untuk memperkukuh solidariti Global South, di samping meneroka kerjasama yang lebih bermakna demi manfaat bersama," katanya.
Sidang Kemuncak G20 di Afrika Selatan dijangka memberi tumpuan kepada pembangunan inklusif, reformasi ekonomi global, keamanan serantau dan usaha memperkasakan peranan negara membangun dalam rangka tadbir urus antarabanga.
Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, pegawai kerajaan Malaysia serta delegasi perniagaan.









Comments