MB Amirudin, kerajaan N Sembilan memerintah seperti biasa
- Akmal Manaf

- 4 hours ago
- 2 min read

Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini memaklumkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menasihati dan menitahkan beliau agar meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri seperti biasa selagi belum memperoleh penjelasan muktamad berhubung penarikan sokongan ADUN UMNO-BN.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, selaras dengan peruntukan undang-undang dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri akan terus berfungsi seperti biasa.
"Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah menasihati dan menitahkan, agar saya meneruskan tanggungjawab mentadbir sebagai Menteri Besar seperti biasa, selagi belum terdapat kejelasan muktamad mengenai perkara ini, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959," katanya pada sidang berhubung perkembangan terkini yang berlaku di Negeri Sembilan..
Hal itu kata Aminuddin, termasuklah memastikan urusan pentadbiran berjalan lancar serta kepentingan rakyat Negeri Sembilan terus terpelihara.
Sementara itu, beliau tidak menyangka UMNO-BN akan menarik sokongan pada hari ini kerana mendakwa mereka adalah pihak yang meminta penangguhan Sidang DUN, tempoh hari.
"Segala tindakan seterusnya akan dilaksanakan mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang yang berkuatkuasa.
"Kami terperanjatlah (tentang kenyataan) 14 ADUN BN negeri tarik sokongan. Sebelum ini kita telah berbincang mengenai persidangan DUN pada malam yang esoknya perasmian DUN.
"Malam itu empat Exco jumpa saya meminta agar persidangan itu ditangguhkan. Cuma selepas berbincang kita bersetuju supaya perasmian berjalan dan mesyuarat ditangguhkan. Itu permintaan daripada BN itu sendiri.
"Kita bersetuju pada dasarnya dan akhirnya kita bersetuju kita tangguhkan, hari ini tiada persidangan. Tiada perbincangan lebih lanjut, itu (tarik sokongan) yang memeranjatkan saya," katanya.
Terdahulu, UMNO-BN Negeri Sembilan dilapor menarik sokongan terhadap Aminuddin yang juga ADUN Sikamat.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata keputusan dibuat secara sebulat suara membabitkan kesemua 14 ADUN UMNO-BN Negeri Sembilan susulan krisis adat yang berlaku ketika ini.
Katanya, makluman rasmi mengenai keputusan itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, hari ini.




Comments