AMK kecam hantaran hina Sultan Selangor, gesa tindakan tegas
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengecam tindakan sebuah akaun media sosial yang memuat naik imej bersifat menghina terhadap institusi diraja Selangor yang disifatkan sebagai biadab dan berbahaya kepada keharmonian negara.
Naib Ketua AMK Malaysia, Nabil Halimi (gambar) berkata, tindakan memaparkan imej seekor khinzir berpakaian istiadat diraja yang dikaitkan dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah merupakan satu penghinaan serius dan melampau.
"Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan ini yang jelas bertujuan menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor," katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, perbuatan itu bukan sahaja mencemarkan institusi diraja, malah berisiko mencetuskan ketegangan serta menyentuh sensitiviti rakyat berbilang kaum dan agama di Selangor.
Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap pihak yang terlibat.
"Mana-mana individu yang terlibat harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya di bawah lunas perundangan negara,” katanya.
Pada masa sama, Nabil memaklumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan semua Ketua AMK di Selangor untuk membuat laporan polis di daerah cabang masing-masing.
"Tindakan ini penting bagi memastikan mesej jelas dihantar bahawa rakyat Selangor tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana pihak yang cuba mencemarkan nama baik institusi Diraja Selangor," katanya lagi.




Comments