PM Anwar teruja uji pandu Proton e.MAS 7
- Suara Keadilan
- 44 minutes ago
- 1 min read

Kesibukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalankan tugas rutin tidak menghalang beliau untuk sejenak merehatkan minda dengan memandu uji kereta elektrik (EV) pertama buatan Malaysia, Proton e.MAS 7
Menurut PM, beliau memandu uji kereta tersebut di sekitar pejabatnya dan berpuas hati dengan pretasi EV itu yang bakal menjadi kereta rasmi delegasi Sidang Kemuncak ASEAN minggu hadapan.
"Proton e.MAS 7 merupakan satu lagi pencapaian membanggakan dalam landskap automotif negara, dan telah dipilih sebagai kenderaan rasmi Malaysia sempena jawatan Pengerusi ASEAN 2025.
"Pemilihan ini bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi tempatan, tetapi juga keyakinan terhadap kebolehan anak tempatan dalam menerajui industri automotif masa hadapan," katanya dalam muat naik di Facebook.

Beliau berharap penggunaan EV buatan Malaysia dalam sidang ASEAN itu nanti akan meningkatkan pasaran Proton e.MAS 7 ke negara negara Asia Tenggara selepas ini.
"Insya-Allah, saya percaya Proton e.MAS 7 ini akan menjadi pemangkin kepada promosi dan pembangunan industri kenderaan elektrik negara, khususnya ketika kita menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
"Inisiatif ini juga seiring dengan komitmen Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun-tahun mendatang, selaras dengan agenda kelestarian dan peralihan tenaga hijau negara di bawah kerangka Malaysia MADANI," katanya lagi.
Justeru PM menyeru rakyat terus menyokong inovasi tempatan dan berusaha ke arah masa depan yang lebih lestari, berdaya saing dan berteknologi tinggi.