top of page

'PM Anwar sibuk tetap hadir ke Parlimen, pembangkang ponteng'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 23 minutes ago
  • 2 min read

Barisan pemimpin utama pembangkang kosong, enggan memahami isu yang dibangkitkan. Foto: FB Anwar
Barisan pemimpin utama pembangkang kosong, enggan memahami isu yang dibangkitkan. Foto: FB Anwar

Oleh: Akmal Manaf


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi membuktikan ketahanan dan komitmennya sebagai pemimpin negara apabila terus menjalankan tugas tanpa henti meskipun Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang menghimpunkan pemimpin serantau baru sahaja berakhir.


Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Jalex Lee berkata, kehadiran Anwar ke Parlimen pada pagi tadi bagi Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) membuktikan pemimpin berusia 78 tahun itu meletakkan tanggungjawab terhadap rakyat dan negara di tempat teratas.


Bagaimanapun, beliau kecewa apabila sebahagian anggota Dewan Rakyat dari blok pembangkang ponteng dan tidak mahu mendengar penjelasan PM dalam isu isu yang mereka bangkit dan tohmah sejak bermulanya sidang ASEAN pada 26 Okt lalu.

Jalex Lee
Jalex Lee

"Amat mendukacitakan apabila wakil-wakil pembangkang sekali lagi gagal menunjukkan tanggungjawab mereka sebagai Ahli Parlimen.


"Ketidakhadiran mereka ke Dewan Rakyat ketika sesi penting seperti PMQT mencerminkan sikap sambil lewa dan ketidakseriusan terhadap mandat yang telah diberikan oleh rakyat.


"Tindakan seperti ini bukan sahaja tidak menghormati institusi Parlimen, malah mengkhianati kepercayaan rakyat yang memilih mereka untuk bersuara bagi pihak kawasan masing-masing," bidas beliau dalam satu kenyataan.


Jalex mendakwa, lebih membimbangkan apabila pembangkang kini dilihat lebih selesa bermain politik fitnah, mencetuskan kekeliruan dan memburukkan imej negara berbanding menjalankan tanggungjawab sebagai pembuat dasar yang konstruktif.


Ujarnya, politik sedemikian tidak membawa manfaat kepada rakyat, malah hanya menonjolkan ketidakmatangan serta ketandusan idea untuk membina Malaysia yang lebih baik.


Beliau berkata, sudah tiba masanya pembangkang menunjukkan kebertanggungjawaban, bukan sekadar mencari publisiti murahan melalui retorik dan serangan peribadi.


"Sementara itu, PM Anwar pula terus membuktikan kepimpinan berasaskan integriti, dedikasi dan kerja keras.


"Dalam keadaan jadual yang padat dan tanggungjawab antarabangsa yang besar, beliau tetap memastikan urusan rakyat tidak diketepikan.


"Inilah contoh kepimpinan sebenar, pemimpin yang bekerja demi rakyat, bukan demi kepentingan peribadi atau parti.


"Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin seperti ini yang memahami erti amanah dan meletakkan kepentingan negara di atas segalanya," katanya sambil memuji pendirian Anwar yang juga Presiden KEADILAN.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page