PM Anwar seru ASEAN - Rusia perluas kerjasama
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Rantau ASEAN dan Rusia perlu memperluaskan kerjasama pelbagai hala dalam bidang keselamatan makanan, tenaga, pembuatan termaju, teknologi digital dan pendidikan.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sektor-sektor tersebut menawarkan peluang kerjasama yang signifikan ketika negara anggota ASEAN dan Rusia berusaha untuk mempelbagaikan pasaran, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan meneroka jalan baharu untuk pertumbuhan.
"Walaupun ASEAN dan Rusia masih belum menjadi rakan ekonomi utama antara satu sama lain, potensi bagi libat urus lebih mendalam masih besar.
"ASEAN memahami realiti ini dengan baik selepas muncul sebagai salah satu wilayah ekonomi paling dinamik di dunia dengan kelas menengah yang semakin berkembang, ekonomi digital berkembang pesat dan populasi muda terus memacu pertumbuhan dan inovasi di seluruh rantau berkenaan.
"ASEAN telah menunjukkan daya tahan luar biasa. Rantau ini terus menarik pelaburan, mempertingkatkan integrasi dan mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian nilai global," katanya dipetik menerusi ucapan pada Forum Perniagaan ASEAN-Rusia.
Dalam ucapan dihadiri oleh lebih 400 pemimpin korporat dan perniagaan dari Rusia serta negara anggota ASEAN itu, Anwar menegaskan bahawa prinsip keterbukaan dan kerjasama membolehkan ASEAN (dengan 700 juta penduduk) kekal bebas, stabil, dan menjadi kuasa utama dalam hal ehwal serantau.
Perkongsian ASEAN-Rusia juga jelas beliau, telah berkembang dengan mantap sejak tiga setengah dekad lalu disokong oleh dialog yang bermakna, libat urus ekonomi yang semakin meningkat dan komitmen bersama terhadap kerjasama saling menguntungkan.




Comments