PM Anwar sertai sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di UPM
- Helmi Mohd Foad

- 33 minutes ago
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyertai Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang esok.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee (gambar) berkata seramai 4,000 peserta melibatkan 100 kontinjen kementerian, agensi dan badan berkanun akan menyemarakkan sambutan tersebut yang dijadual bermula pukul 7.30 pagi.
Turut dijadual hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan, menteri-menteri Kabinet serta dif-dif kenamaan lain.
"Kemuncak sambutan ialah penyampaian Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M yang melibatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan lapan penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW.
"Pengiktirafan ini diberikan kepada individu yang telah memberikan sumbangan bermakna dalam bidang masing-masing kepada pembangunan agama, bangsa dan negara serta memberi impak positif terhadap kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sambutan tahun ini mengangkat tema “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” yang mengambil inspirasi daripada semangat pembentukan masyarakat Madinah diasaskan Rasulullah SAW berteraskan akhlak, persaudaraan, keadilan dan tanggungjawab bersama.
Menurut Sirajuddin, semangat itu diterjemahkan menerusi dua elemen utama iaitu Sahifah Madinah dan Masjid Nabawi dengan pendekatan sambutan diharap dapat membawa penghayatan Maulidur Rasul melangkaui aspek peringatan semata-mata.
"Penganjuran kali ini turut diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan UPM sebagai penyedia lokasi dan sokongan logistik.
"Kemudahan infrastruktur lengkap serta persekitaran kampus yang kondusif membolehkan program dilaksanakan dengan lebih teratur dan selesa, selain mencerminkan sinergi antara kerajaan dengan institusi pengajian tinggi dalam menjayakan program berimpak tinggi," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran sambutan tahun ini dilaksanakan secara sederhana namun kekal meriah, berprestij dan bermakna selaras dengan keutamaan negara terhadap pengukuhan kedudukan fiskal serta kesejahteraan rakyat.
Antara pengisian disediakan ialah perarakan kontinjen dengan alunan selawat, Program Bicara Khas Wanita serta program anjuran masjid utama JAKIM membabitkan Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
JAKIM turut menyediakan pengisian digital termasuk edisi khas Podcast JAKIM Untuk Ummah yang bersiaran dari Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) selain kapsul “Uswatun Hasanah” menerusi Radio Zayan.
Sirajuddin berkata orang ramai dijemput memeriahkan sambutan di UPM yang berlangsung dari 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Majlis itu akan disiarkan secara langsung menerusi RTM TV1 dan turut disambung siar oleh Nasionalfm, TV AlHijrah dan IKIMfm serta platform media sosial rasmi JAKIM dan rangkaian radio berkaitan.
"Diharapkan agar semua inisiatif dan pengisian sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW pada tahun ini dapat memberi impak yang bermakna kepada masyarakat.
"Semoga sambutan ini terus menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW, memperkukuh penghayatan terhadap sirah, akhlak dan sunnah Baginda, serta mendorong masyarakat untuk menerapkan nilai-nilai tersebut dalam kehidupan seharian," katanya.




Comments