top of page

PM Anwar sertai ratusan jemaah solat jenazah Syed Naquib al-Attas

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read
DS Anwar antara pemimpin negara yang menunaikan solat jenazah Allahyarham Syed Muhammad Naquib
DS Anwar antara pemimpin negara yang menunaikan solat jenazah Allahyarham Syed Muhammad Naquib

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai ratusan jemaah menunaikan solat jenazah tokoh ilmuwan dan pemikir peradaban Islam tersohor, Allahyarham Syed Muhammad Naquib al-Attas di Masjid Al-Taqwa TTDI, Kuala Lumpur.


Solat jenazah itu turut disertai beberapa Menteri Kabinet, ahli keluarga, rakan serta penduduk setempat dengan diimamkan anak Allahyarham Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas.


Antara yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Dr Zulkifli Hassan.


Syed Muhammad Naquib, 95, yang merupakan pengasas dan pengarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) meninggal dunia petang semalam.


Jenazah Allahyarham Dr Syed Muhammad Naquib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada 12.30 tengah hari tadi.


Turut berkenan berangkat ke pengebumian berkenaan bersama kira-kira 200 ahli keluarga dan kenalan ialah Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.


Terdahulu Perdana Menteri berkata pemergian sarjana yang amat dihormati itu merupakan kehilangan besar buat dunia kerana telah menabur bakti besar dalam memartabatkan tradisi ilmu, adab dan tamadun Islam.


"Saya sempat menyampaikan salam takziah kepada ahli keluarga Allahyarham serta menzahirkan penghargaan terhadap khazanah pemikiran yang amat bernilai yang ditinggalkan khususnya dalam memperkasa kefahaman mengenai konsep ilmu, adab serta peranan Islam dalam membentuk peradaban yang luhur," kata Perdana Menteri.


Beliau berkata jasa dan sumbangan Allahyarham akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi ilmuwan serta umat Islam dalam meneruskan tradisi keilmuan yang berteraskan hikmah dan nilai.


"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page