Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyertai pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada program Pemukiman Pakatan Harapan 2024 di Putrajaya.
Program yang bermula kira-kira pukul 9 pagi dirasmikan dengan ucapan pembukaan oleh Anwar yang juga Pengerusi PH.
Terdahulu turut berucap Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan ketua-ketua parti komponen PH iaitu Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick.
Pemukiman tersebut dilihat menjadi medan untuk PH membuat penilaian prestasi selama setahun perjalanan Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan bersama gabungan pelbagai parti termasuk Barisan Nasional (BN).
Bagi tujuan tersebut pemukiman tersebut mendengar pembentangan daripada badan penyelidikan Merdeka Centre dengan melibatkan kupasan perbincangan bersama penganalisis politik iaitu Dr Arnold Puyok dani Universiti Malaysia Sarawak, Dr Mazlan Ali (Universiti Teknologi Malaysia) dan Dr Azman Awang Pawi (Universiti Malaya).
Pemukiman tersebut turut membincangkan mengenai sasaran pencapaian PH bagi tahun ini termasuk pembentangan mengenai pembangunan ekonomi yang dilihat penting bagi memastikan PH terus mendapat sokongan rakyat.
Persoalan tentang politik identiti turut menjadi tumpuan pemimpin PH dalam usaha untuk memupuk semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat negara ini.
Program dijadual berakhir petang ini dengan sesi penggulungan oleh ketua-ketua parti komponen PH dan Perdana Menteri sebelum satu resolusi dikeluarkan.
Comments