PM Anwar sambut Presiden Trump, diberi penghormatan naiki 'The Beast'
- Suara Keadilan
- 32 minutes ago
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberikan sambutan rasmi kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Kompleks Bunga Raya, KLIA, Sepang.
Presiden Trump yang dalam rangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN 47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) tiba di negara ini menaiki Pesawat Air Force SAM 0001 pada jam 10 pagi tadi.
Turut menyambut ketibaan delegasi itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan.
Sejurus tiba, Trump menerima tabik hormat daripada anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Kapten Mohd Masrur Hidayat Masri.
Sambutan turut diserikan dengan persembahan kebudayaan menggabungkan elemen tradisional diiringi lagu Dikir Puteri.

PM Anwar kemudiannya dipelawa oleh Presiden Trump menaiki kenderaan rasmi Presiden AS "The Beast" yang merupakan kenderaan ketua kerajaan paling canggih dan kebal di dunia. The Beast diiringi lebih 10 kenderaan lain bergerak ke KLCC bagi mengadakan mesyuarat dua hala Anwar-Trump.
Untuk rekod, Datuk Seri Anwar adalah pemimpin Asia kedua yang diberi penghormatan menaki The Beast. Sebelum ini hanya PM Jepun, Shinzo Abe pernah menaiki kenderaan tersebut bersama Trump pada 2017.
Presiden Perancis Emmanuel Macron (2017), PM Australia Malcolm Turnbull (2017) dan penggal kedua Trump adalah Presiden Rusia, Vladimir Putin pada pertengahan tahun ini.
Selepas ini, Presiden Trump dan Datuk seri Anwar dijangka menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting, termasuk memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang perdagangan dan keselamatan.
Wisma Putra dalam kenyataan memberitahu, ini merupakan lawatan sulung Presiden Trump ke rantau Asia Tenggara sejak dipilih sebagai Presiden ke-47 AS pada Januari lepas.





