top of page

PM Anwar rakam takziah keluarga Allahyarham Bung Moktar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 minutes ago
  • 1 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) yang kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.


Perdana Menteri menganggap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu sahabat lamanya yang berpendirian tegas dan lantang dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.


"Jasa serta komitmen beliau dalam arena politik, khususnya terhadap rakyat Sabah dan negara, akan terus dihargai dan terpahat dalam ingatan.


"Saya mendoakan agar keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan menghadapi ujian ini dan semoga roh Allahyarham diampunkan segala dosanya serta ditempatkan pada kedudukan yang istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah," kata Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook.


Bung Moktar, 66, yang merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan dan baru memenangi kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 minggu lepas dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di Kota Kibabalu pada pukul 1.46 pagi.


Perkara itu diumumkan oleh anak lelaki Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu, Naim Kurniawan Moktar menerusi hantaran di Facebook.


Terdahulu awal malam tadi, media melaporkan Bung Moktar dimasukkan ke sebuah hospital swasta dan beliau mengalami komplikasi pada paru-paru, jantung dan buah pinggang.


Pada PRN Sabah ke-17 baru-baru ini Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.


Pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada November 1999, Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal.


Dilahirkan pada 15 September 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Allahyarham meninggalkan balu Nor Asidah Alimuddin dan Zizie Izette Abdul Samad serta tujuh orang anak.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page