PM Anwar-Presiden FIFA bincang usaha kukuh ekosistem bola sepak
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino di Putrajaya bagi membincangkan usaha memperkukuh ekosistem bola sepak di Malaysia dan rantau ASEAN.
Pertemuan di sela-sela kunjungan rasmi pimpinan antarabangsa di Putrajaya itu turut menumpukan kepada pelaksanaan projek FIFA Arena, yang dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan prasarana sukan serta melahirkan lebih ramai bakat tempatan berkualiti.
"Kami turut menyentuh mengenai Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA yang merupakan langkah strategik membuka lembaran baharu ke arah menjadikan rantau ini sebagai kuasa bola sepak disegani di peringkat global," kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak melalui peningkatan kemudahan, latihan berstruktur serta kerjasama strategik bersama FIFA.
"Ini adalah langkah penting untuk melahirkan generasi baharu pemain berbakat, memperkukuh ekosistem sukan profesional dan mengangkat nama negara sebagai hab pembangunan bola sepak serantau," ujarnya.
Menerusi hantaran sama, Anwar memuat naik gamba menerima jersi warna putih bernombor 10 daripada Gianni.









Comments