top of page

PM Anwar miliki hubungan akrab dengan ulama

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 23
  • 2 min read

PM Anwar berdoa bersama barisan ulama Islam dalam dan luar negara di Festival Turath Islami Selangor 2025
PM Anwar berdoa bersama barisan ulama Islam dalam dan luar negara di Festival Turath Islami Selangor 2025

Festival Turath Islami Selangor 2025 terus mengangkat martabat ilmu dan warisan keislaman apabila satu majlis penghargaan tokoh-tokoh ulama antarabangsa telah diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Shah Alam baru baru ini.


Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat mesra dan akrab bersama para ilmuwan tersohor dari dalam dan luar negara.


Antara tokoh ilmuwan yang hadir termasuk Syeikh Dr Mohammad Akram An-Nadwi dari United Kingdom, Ustaz Dr Adi Hidayat dari Indonesia serta para ulama dari Maghribi, Syria, Mesir dan Thailand.


Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.


Menurut Timbalan Menteri Agama, Dr Zulkifli Hassan yang hadir dalam pertemuan itu, Perdana Menteri dalam interaksinya mempamerkan rasa hormat dan penghargaan terhadap sumbangan para ulama sekali gus memperkukuh hubungan ukhuwah antara Malaysia dan dunia Islam.


Festival Turath Islami Selangor yang dianjurkan secara tahunan merupakan inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama institusi pengajian tinggi, jabatan agama, dan pertubuhan bukan kerajaan.


Program ini menghimpunkan tokoh-tokoh ilmuwan untuk menyampaikan syarahan, muzakarah kitab turath, serta wacana keilmuan secara terbuka kepada masyarakat.


Bertemakan "Memartabatkan Tradisi Ilmu, Menyantuni Peradaban", edisi 2025 menyaksikan penganjuran lebih 40 program sepanjang dua minggu termasuk Daurah Kitab, Nadwah Ulama, dan Majlis Khatam Turath.


Program ini tidak hanya menumpukan aspek keilmuan semata-mata, bahkan menjadi jambatan memperkukuh perpaduan ummah dan dialog antara budaya Islam yang pelbagai.

Dr Zulkifli menyambut ketibaan para ulama dan tokoh agama
Dr Zulkifli menyambut ketibaan para ulama dan tokoh agama

Dr Zulkifli Hasan berkongsi momen tersebut di media sosialnya dan menyifatkan Festival Turath Islami sebagai simbol keteguhan warisan keilmuan Islam yang terus subur di Malaysia.


"Perdana Menteri menunjukkan keakrabannya dengan para ulama (pada majlis itu)," komen Dr Zulkifli.


Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Selangor dan Perdana Menteri atas sokongan padu terhadap penganjuran program berimpak tinggi ini.


Festival Turath Islami 2025 melabuhkan tirai hujung minggu ini dengan Majlis Penutupan yang bakal dirasmikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page