PM Anwar mahu Sabah bangkit negeri bermaruah, berjaya
- Suara Keadilan

- 4 days ago
- 1 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmennya untuk melihat Sabah bangkit sebagai sebuah negeri yang benar-benar berjaya, bermaruah dan melangkah ke hadapan meninggalkan imejnya sebagai negeri miskin dan ketinggalan sejak beberapa dekad lalu.
Tegasnya, masa depan Sabah bergantung kepada kekuatan, keberanian dan aspirasi anak muda, justeru Belanjawan 2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini dirangka untuk merealisasikan hasrat itu dengan memberi ruang seluas-luasnya kepada generasi muda.
"Ia merangkumi peluang pekerjaan, latihan kemahiran, sokongan keusahawanan serta pengukuhan ekosistem digital, inovasi dan bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai jambatan menuju masa depan lebih cerah dan inklusif.
"Kerajaan tidak mahu politik retorik tanpa hasil, sebaliknya mahukan perubahan nyata melalui dasar yang menyentuh kehidupan rakyat serta pembangunan yang dapat dirasai setiap keluarga di Sabah.
"Insya-Allah, dengan iltizam, semangat dan daya juang anak muda Sabah, kita akan membangunkan sebuah negeri yang makmur, berdaya saing dan disegani," katanya dalam muat naik di media sosial.
Hantaran itu menyusul kehadirannya ke Program Townhall PMX Bersama Anak Muda Inanam di sini Kota Kinabalu pada Khamis.
Pada acara itu beliau turut berkesempatan berinteraksi dan menjawab soalan dibangkitkan golongan muda setempat.
Perdana Menteri turut memohon agar pengundi memberikan peluang kepada calon-calon Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk bersama membina Sabah yang lebih adil dan maju.









Comments