top of page

PM Anwar luncur buku baharu, hasil royalti bantu pelajar miskin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 8, 2025
  • 2 min read

DS Anwar meluncurkan buku Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times
DS Anwar meluncurkan buku Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad melancarkan buku terbarunya berjudul "Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times".


Berkongsi pengalaman penulisan buku itu beliau yang juga Presiden KEADILAN berkata, naskah itu didedikasikan kepada Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, manakala proses penulisannya dimulakan menerusi beberapa catatan ketika berada di Penjara Sungai Buloh.


Buku setebal 240 halaman itu menghimpunkan gagasan pemikiran serta refleksi peribadinya mengenai keadilan sosial, reformasi dan cabaran masyarakat dalam era pascanormal, selain mengajak pembaca menilai semula pendekatan mereka terhadap landskap dunia yang berubah pantas.


"Ketika di Penjara Sungai Buloh saya lebih tenang dan punya masa untuk menulis… ingat Dr Wan Azizah sikit, banyak menulis. Buku ini bukan tentang diri saya semata-mata, tetapi pengalaman saya.


"Saya berbicara secara jelas mengenai undang-undang, idea, sastera, hubungan masyarakat majmuk serta isu di Sabah dan Sarawak secara idea.


"Kali pertama saya dipenjarakan kerana membantu orang miskin di Baling pada 1974, kemudian jadi timbalan menteri, menteri, ditahan dan dipenjarakan lagi. Namun ini bukan autobiografi," katanya ketika berucap pada majlis peluncuran di Bukit Jalil.

DS Anwar menunjukkan karya terbaharu beliau yang ditulis sewaktu di Penjara Sungai Buloh
DS Anwar menunjukkan karya terbaharu beliau yang ditulis sewaktu di Penjara Sungai Buloh

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli; serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Dzulkifli Hasan. Anwar turut diiringi isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah.


Pada majlis sama, Perdana Menteri mengumumkan bahawa semua royalti hasil jualan buku itu akan disalurkan sepenuhnya kepada pelajar miskin di seluruh negara.


"Saya ingin mengumumkan setiap sen royalti penjualan buku ini akan dibelanjakan untuk membantu pelajar daripada keluarga miskin. Kakitangan saya akan memastikan hasrat ini direalisasikan," tambahnya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penerbit kerana menerbitkan karya tersebut serta memberikan potongan harga bagi menggalakkan lebih ramai membeli buku sekali gus menyumbang kepada tabung pelajar kurang berkemampuan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page