top of page

PM Anwar lulus ujian bebas sukarelawan GSF, apa perlu letak jawatan?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 49 minutes ago
  • 2 min read

ree

Tuntutan pemimpin pembangkang Perikatan Nasional yang mahu Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar meletak jawatan dalam himpunan membantah Rang Undang- Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) pada 4 Oktober lalu ditempelak Ahli Parlimen Pasir Gudang.


Bagi Hassan Abdul Karim (gambar) tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menyeru PM meletak jawatan ketika negara sedang berdepan krisis penahanan 23 sukarelawan Malaysia oleh rejim Israel adalah gimik politik yang tidak mengambil kira kepentingan rakyat.


Menurut Hassan, kenyataan Hamzah itu tidak bertanggungjawab malah tidak wajar datang daripada seorang Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.


"Seruan Hamzah pada petang Sabtu 4 Oktober lalu dalam perhimpunan di Kuala Lumpur yang menuntut PM Anwar Ibrahim meletak jawatan sangatlah tidak bertanggungjawab, keluar dari minda dan mulut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.


"Sebagai ketua pembangkang Parlimen Malaysia, Hamzah Zainuddin sepatutnya memberi sokongan kepada usaha PM untuk membebaskan rakyat Malaysia dari penjara Israel," katanya dalam kenyataan.


Hassan menegaskan bahawa tumpuan utama kerajaan dan seluruh rakyat ketika ini seharusnya fokus kepada usaha diplomasi untuk memastikan keselamatan dan kepulangan semua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan. Dan dalam hal itu PM telah menunjukkan skil diplomatiknya dengan membebaskan 'tawanan' rakyat Malaysia dalam tempoh hanya dua hari.


"Anwar Ibrahim telah buat sebaik yang mungkin untuk membawa rakyat Malaysia itu pulang dengan selamat ke tanah air. Kini ternyata langkah diplomasi beliau sebagai Perdana Menteri telah mendatangkan hasilnya," ujarnya.


Beliau berkata, kejayaan membebaskan semua 23 rakyat Malaysia itu menunjukkan Anwar telah lulus dalam ujian kepimpinan semasa krisis antarabangsa.


"Prinsipnya mudah. Apabila kita berdepan dengan musuh dari luar negara maka semua pihak dalam Malaysia baik kerajaan dan pembangkang mesti bersatu. Dalam hal 23 orang rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel itu, maka nyawa mereka mesti kita selamatkan. Inilah tanggungjawab kerajaan," tegas Hassan.


Hassan turut menyarankan agar Ketua Pembangkang mengakui kejayaan diplomatik Anwar dan menunjukkan budi pekerti tinggi dengan mengucapkan terima kasih serta tahniah kepada kerajaan Malaysia.


Hassan menambah, apabila rakyat Malaysia telah selamat kembali ke tanah air, selepas itu sekiranya Hamzah sebagai ketua Pembangkang hendak mengkritik kedatangan Presiden Donald Trump ke Malaysia atau hendak bantah sekuat-kuatnya Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar PSB maka beliau boleh melakukannya di sesi Dewan Rakyat akan bersidang mulai 6 Oktober ini.


Namun sebelum itu, katanya, amat tinggi budi pekerti Ketua Pembangkang sekiranya beliau sanggup mengiktiraf kejayaan PM dan Kerajaan Madani dalam hal membebaskan 23 rakyat dari penjara regim zionis Israel.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page