PM Anwar lancar SPINE, tingkat tadbir urus, integriti sektor awam
- Suara Keadilan

- 12 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI terus memperkukuh agenda reformasi pentadbiran melalui pelancaran Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE), sebuah inisiatif baharu yang menilai tahap integriti organisasi melalui penilaian kendiri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata SPINE yang dibangunkan Institut Integriti Malaysia (IIM) menyediakan pendekatan komprehensif berasaskan data bagi mengenal pasti jurang kelemahan, melaksana intervensi pembetulan serta memberi pengiktirafan kepada organisasi berprestasi cemerlang.
Langkah itu dijangka meningkatkan pematuhan integriti, mengurangkan risiko salah guna kuasa dan rasuah, serta mempertingkat kecekapan perkhidmatan awam — seiring hasrat Kerajaan MADANI untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan ketelusan dan memperkasa budaya akauntabiliti.
"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan usaha Malaysia untuk mencapai kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033," katanya dipetik.
Terdahulu, Anwar menyempurnakan pelancaran SPINE sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat.
Turut hadir Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.









Comments